Agong dijangka rai Jubli Emas 50 tahun Stadium Darul Makmur

Iklan
Fadzli melihat kemudahan yang terdapat di Stadium Darul pada Isnin.

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka berangkat ke program sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur, pada Sabtu ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Seri Paduka Baginda juga dijangka melancarkan logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelbagai acara menarik disediakan dan pihaknya menyasarkan kira-kira 30,000 pengunjung memeriahkan sambutan berkenaan.

"Acara itu bermula pada jam 8 malam turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Myvi dan tiga motosikal Yamaha Y15.

Iklan

"Masuk adalah percuma dan rakyat Pahang tanpa mengira latar belakang, keturunan dan umur dijemput bersama meraikan ulang tahun gilang gemilang 50 tahun Stadium Darul Makmur," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Fadzli (kanan) meninjau balapan Stadium Darul Makmur pada Isnin.

Beliau berkata, pertama kali 400 pelajar sekolah di Kuantan akan membuat persembahan khas pembukaan dan penutup pada majlis sambutan itu.

Iklan

Dalam meraikan ulang tahun stadium yang menjadi ikonik negeri Pahang, Fadzli memaklumkan, pihak perbadanan menerusi kerajaan negeri juga telah membaik pulih fasiliti dan kemudahan sedia ada dengan peruntukan lebih RM1.4 juta.

Jelasnya, peruntukan daripada kerajaan Pahang itu membabitkan pembaikan dan membaik pulih kemudahan antaranya tandas, surau, persekitaran stadium serta bangunan stadium di bahagian luar yang dicat baharu.

"Kita juga gembira dengan sambutan baik daripada rakyat yang menggunakan balapan yang dibuka secara percuma setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 4 hingga 7 petang.

"Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan bersenam di stadium," katanya.