Mangsa banjir di Terengganu meningkat, Perak kekal setakat malam ini

Iklan
Penduduk terlibat banjir dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pindah ke PPS semasa tinjauan di Kampung Gelong Gajah, Pasir Panjang, pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat manakala di Perak kekal setakat malam ini.

Di TERENGANU, jumlah mangsa banjir yang direkodkan meningkat daripada 893 orang pada 6 petang tadi, kepada 1,070 orang pada 8 malam berikutan hujan berterusan sejak malam semalam.

Iklan
Iklan

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa terbanyak iaitu 564 mangsa daripada 166 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara di Kuala Terengganu, 496 mangsa daripada 152 keluarga berlindung di tiga PPS manakala di Setiu, sebuah PPS beroperasi menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

Iklan

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air memaklumkan paras sungai-sungai utama di Terengganu masih normal setakat 7 malam, kecuali di tiga stesen.

Stesen berkenaan melibatkan Sungai Setiu di Kampung (Kg) Besut, Setiu berada pada tahap waspada iaitu di paras 16.22 meter (m) manakala Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu pada tahap amaran di paras 7.95m manakala Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus di tahap bahaya iaitu 3.85 meter.

Iklan

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pada malam ini kekal seperti pagi tadi, dengan 75 orang daripada 22 keluarga berlindung di dua PPS di Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga serta PPS SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga, berlindung di kedua-dua PPS itu sejak bulan lepas.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan di Kerian, laluan FT 147 Jalan Selama ditutup kepada semua kenderaan selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya kepada kenderaan ringan berikutan pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera susulan keadaan bahu jalan yang runtuh.

"Laluan di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim hanya dibuka satu lorong kepada semua kenderaan kerana Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dibuat di lokasi akibat tanah runtuh.

"Di Hilir Perak, laluan di A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif di laluan FT058," menurut JKR. - Bernama