HARIMAU Malaya tidak lagi boleh menoleh ke belakang pada perlawanan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 menentang Taiwan hari ini selepas menjinakkan Kyrgyzstan yang berstatus nombor ke-97 dunia, 16 November lalu.
Itu harapan tinggi dalam kalangan pencinta pasukan bola sepak negara selepas Faisal Halim menoktahkan jaringan minit ke-93 untuk kemenangan sulung Harimau Malaya bagi aksi pembukaan kempen kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mempamerkan aksi kelas tersendiri selepas bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk menang tipis 4-3 ke atas Kyrgyzstan-rekod pertemuan sebelum ini memihak pasukan ‘Switzerland Asia Tengah’ 1-0 pada 2018.
Pemburuan mata keenam tidak hanya menguji karakter tetapi juga kebijaksanaan Harimau Malaya apabila buat pertama kali bermain dalam kempen kelayakan temasya berprestij bola sepak dunia lima tahun sekali itu yang berintensiti tinggi di luar laman keramat Stadium Nasional Bukit Jalil tahun ini.
Walaupun anak buah Pan-gon lulus dua ujian awal aksi persahabatan antarabangsa apabila mengikat Syria 2-2 di Stadium East-Town Football Park dan China 1-1 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, September lalu, namun atmosfera dalam Stadium Perbandaran Taipei dipacu chant penyokong-penyokong negara kecil itu menjanjikan suasana amat gamat, selain tekanan padu ‘pemain ke-12’ tuan rumah itu.
Dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sebelum ini, rekod lebih memihak kepada Taiwan apabila menewaskan Malaysia 2-0 semasa aksi persahabatan di Taipei, September 2018. Blue Wings juga menewaskan skuad negara 3-2 dalam aksi Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia Brazil 2014 di Taipei pada 3 Julai 2011.
Perlawanan di laman sendiri, anak buah Gary White memiliki rekod membanggakan apabila mengikat Thailand, 2-2 pada Jun, seri 1-1 menentang Filipina (Jun) sebelum menang besar 4-0 ke atas Timor Leste (Oktober) tahun ini.
Tugas rumit juga menanti anak buah Pan-gon untuk mengatasi Taiwan berdasarkan momentum pasukan berstatus ranking ke-152 dunia di bawah kepimpinan pengendali White ketika ini.
White yang mula mengendalikan Blue Wings pada 2017 sebelum ini berjaya menaikkan darjat ranking pasukan tersebut dari tangga ke-161 ke tangga 121 pada 2018 dilihat masih dalam proses pembinaan pasukan tersebut.
Selain itu, kelibat penggempur naturalisasi Taiwan berusia 26 tahun dari Ivory Coast, Ange Samuel Kouame juga merupakan Pemain Paling Bernilai Liga Perdana Taiwan musim lalu dengan 11 gol bersama Tainan City dijangka menghadirkan keresahan sepanjang 90 minit kepada bahagian pertahanan Harimau Malaya.
Di bumi Taiwan, anak buah Pan-gon tiada pilihan.
Selain perlu mengekalkan rentak positif ketika bangkit menewaskan Kyrgyzstan, mereka juga mesti kembali mempamerkan karakter sebenar Harimau Malaya sebaik sahaja wisel minit pertama perlawanan bermula.
Kemenangan sulung aksi pembukaan kempen kelayakan ke atas Kyrgyzstan menyaksikan Harimau Malaya kini berada di kedudukan kedua kumpulan berkongsi tiga mata dengan Oman – dibezakan bolos – yang akan menjadi lawan seterusnya pada Mac tahun depan.
Justeru, sebelum melabuhkan tirai penghujung tahun kempen kelayakan selepas kebangkitan luar biasa di Bukit Jalil, hanya tiga mata pilihan terbaik untuk dibawa pulang oleh Harimau Malaya, bukan seri, jauh sekali tewas di Taiwan.
Sekiranya misi tiga mata gagal diraih anak buah Pan-gon hari ini, laluan ke Piala Dunia 2026 kembali tampak samar kerana perlu mengharungi fasa beronak duri dan berliku seperti sebelum ini.
* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar