BEBERAPA hari lalu, salah seorang kolumnis Sinar Harian memberikan amaran supaya jangan biarkan Thailand untuk mencuri pelancong.
Amaran itu dibuat kerana ketika ini ramai pelancong lebih gemar memilih negara Gajah Putih itu disebabkan pelbagai faktor.
Harga hotel rendah dan makanan enak yang boleh dinikmati pada harga murah adalah antara faktornya.
Jadi, tak hairanlah jika beberapa sahabat Merak Jalanan bersetuju dengan pandangan tersebut dan mahu Malaysia berusaha keras untuk menarik kedatangan pelancong.
Salah seorang daripada mereka beritahu, Malaysia sebenarnya ada banyak tempat tumpuan menarik tetapi tak dijaga dengan baik.
Sebagai contoh, negeri Kelantan ada beberapa buah pantai, malangnya tahap kebersihan di kawasan tersebut amat menyedihkan.
Selain itu, kawasan Kota Bharu yang bersebelahan dengan Sungai Kelantan juga boleh dimajukan sebagai satu daripada produk pelancongan.
Suatu ketika dahulu, Merak Jalanan sendiri pernah menginap di sebuah rumah rakit yang terdapat di sungai berkenaan tetapi sekarang rumah rakit itu pun dah ‘ghaib’.
Begitu juga dengan lokasi-lokasi lain di negara ini yang tidak dilihat sebagai satu tarikan dan tidak juga diberikan nafas baharu.
Misalnya, Cameron Highlands di Pahang yang begitu terkenal sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia.
Malangnya, masalah kesesakan jalan raya yang tidak berkesudahan menyebabkan ramai terpaksa berfikir panjang.
Apatah lagi, ada ura-ura Genting Highlands juga nak dikenakan tol oleh pihak yang mengendalikan pusat peranginan itu tetapi mujurlah ia masih tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri buat masa ini.
Jadi, Merak Jalanan harap industri pelancongan negara ini dapatlah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya.