KEMAMAN - Keunikan kuih tradisional Terengganu seperti bekang dan qasidah membuatkan penggemarnya pasti mengunjungi Pasar Besar Chukai dekat sini bagi mendapatkan makanan warisan itu.
Selain penduduk tempatan, ada juga pelanggan dari luar Terengganu singgah di pasar berkenaan kerana kuih tradisional tersebut sukar dijumpai di tempat lain.
Pemilik gerai kuih tradisional, Zamariah Hamzah, 53, berkata, permintaan terhadap kuih tradisional masih mendapat sambutan terutama daripada golongan berusia.
"Kuih yang paling banyak dicari di gerai ini ialah bekang dan qasidah malah ia sememangnya mendapat permintaan tinggi kerana ia sukar didapati di luar Terengganu.
Mengulas lanjut, Zamariah berkata, kuih bekang dihasilkan dengan bahan-bahan seperti tepung beras dan telur selain ia turut dihidangkan bersama kuah manis atau lemak.
"Selain itu, pembuatan kuih qasidah pula menggunakan bahan-bahan antaranya tepung gandum dan bawang goreng.
"Aroma bawang goreng yang ditabur atas qasidah tersebut sudah tentu membangkitkan selera bagi sesiapa yang pertama kali mencubanya," ujarnya yang menjual kuih tradisional sejak 15 tahun lalu.
Zamariah berkata, dia mampu menjual kuih bekang dan qasidah lebih 50 bekas pada hujung minggu.
Menurutnya, ia dijual pada harga RM2 hingga RM3 sebekas.