'Tiada manfaat diterima pengundi Kemaman jika Pas menang'

Iklan
Ahmad Maslan ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, di sini pada malam Isnin.

KEMAMAN - Tiada manfaat diterima pengundi sekiranya Pas memenangi kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman kerana wakil dari parti itu tetap akan menjadi pembangkang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebaliknya penduduk di Kemaman menerima pelbagai kelebihan termasuk pembangunan berkembang pesat jika calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menjadi wakil rakyat di Parlimen berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kalau Menteri Besar Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar) menang dia tetap akan duduk di blok pembangkang dan tak dapat manfaat apa pun.

"Cuba lihat di Terengganu ini, segala pembangunan yang ada di negeri ini seperti jambatan, universiti, masjid, hospital, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Projek Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL) yang disiapkan tidak lama lagi dan sebagainya.

Iklan

"Siapa yang membina semua itu, adakah Pas? Ia dibina oleh BN (ketika perintah)," katanya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata, sepanjang pemerintahan Pas di Terengganu tiada sebarang pembangunan di negeri ini.

"Tak ada sebarang bangunan besar yang kita lihat dibina oleh Pas di negeri ini.

"Jadi apa faedah Pas untuk menjadi ahli Parlimen Kemaman?" katanya.

Ahmad Maslan

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Parlimen Kemaman merupakan satu-satunya jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sekiranya BN memenangi kawasan berkenaan.

Iklan

Justeru, Ahmad menegaskan bahawa parti itu perlu memenangi PRK Kemaman supaya perkara tersebut dapat direalisasikan.

"Dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu tiada satu pun (wakil) Kerajaan Perpaduan selain kerajaan pusat di Parlimen juga tidak ada satu pun Kerajaan Perpaduan.

"Oleh itu, Kemaman ini adalah satu-satunya jambatan penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sekiranya Raja Mohamed Affandi menang maka kita harap jangan dibakar satu-satunya jambatan perhubungan ini.

"Apa maksud jangan dibakar itu adalah memberi kemenangan pada BN. Jadi kita tak membakar satu-satunya jambatan antara kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri," katanya.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Ahmad Maslan bersalaman dengan penduduk Kemaman yang hadir Ceramah Isu Semasa di Dewan Sivik Felda Cherol, di sini pada malam Isnin.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.