PETALING JAYA -"Kita bernasib baik kebakaran berlaku pada malam ini (Isnin), saya tidak dapat bayangkan jika berlaku pada malam Sabtu atau Ahad,” kata seorang pengusaha gimnasium di bazar larut malam (Uptown) Kota Damansara, yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku malam tadi.
Mazalan Abdul Manan, 53, yang mengusahakan gimnasium di kawasan berkenaan sejak 2017 berkata, pada Jumaat hingga Ahad setiap minggu, kawasan itu amat sesak dengan pengunjung yang datang membeli pelbagai barangan yang dijual peniaga di bazar berkenaan.
Beliau berkata, jalan di sekeliling bazar itu selalunya akan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan dan kemungkinan besar menyukarkan jentera bomba untuk tiba di lokasi, bagi memadamkan kebakaran.
Menceritakan kejadian kebakaran itu, Mazalan berkata, beliau melihat asap tebal keluar dari kawasan bazar berkenaan pada jam 8.15 malam dan api merebak dengan pantas ke gerai berhampiran dan bahagian belakang gimnasiumnya.
"Melihat asap itu saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya.
"Ketika itu terdapat kira-kira 15 orang ahli sedang bersenam di dalam gimnasium dan ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya mengeluarkan alat senaman lain, mereka turut membantu peniaga berhampiran menyelamatkan barangan niaga mereka dari terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Mazalan berkata, kebakaran itu mengakibatkan empat mesin senaman serta beberapa kelengkapan lain yang terletak di bahagian belakang, terbakar.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata, kebakaran berkenaan melibatkan kawasan seluas 100 kaki x 20 kaki dan api merebak dengan pantas berikutan kawasan berkenaan penuh dengan bahan mudah terbakar.
"Ketika pasukan penyelamat sampai api telah marak dengan besar dan kita menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.
Ahmad Zaidi berkata, siasatan punca kejadian akan dijalankan hari ini dan dijangka akan selesai esok, manakala kawasan kebakaran berkenaan akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai.
Beliau berkata, seramai 30 anggota dan tiga jentera dan sebuah lori tangki air terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran berkenaan.
"Kami terima panggilan kecemasan pada pukul 8.34 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10 malam dan tiada mangsa terlibat,” katanya. - Bernama