Harga beras tempatan Sarawak tidak tertakluk Akta Kawalan Padi dan Beras

Iklan
Dengan harga yang diapungkan, pesawah dapat menikmati lebih pendapatan dan mampu kekal dalam aktiviti penanaman padi. - Gambar hiasan

KUCHING - Harga beras tradisional tempatan Sarawak tidak tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini diberitahu.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, oleh itu, harga beras berkenaan tidak dikawal dan terapung bergantung kepada permintaan serta tawaran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dengan harga yang diapungkan, pesawah dapat menikmati lebih pendapatan dan mampu kekal dalam aktiviti penanaman padi.

"Perkara ini penting memandangkan penghasilan padi masih rendah di Sarawak iaitu pada kadar kurang lima peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi negara serta melibatkan kos pengeluaran padi yang tinggi,” katanya.

Iklan

Beliau menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) semasa sesi soal jawab pada Persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, beras tradisional tempatan Sarawak sememangnya dikenali dengan mempunyai kepelbagaian dari segi bentuk, aroma, warna serta tekstur.

Iklan

Antara beras tradisional tempatan yang terkenal, katanya ialah beras Bario, Bajong, Biris dan Wai.

"Dengan mengambil kira keistimewaan tersebut, beras tempatan ini disasarkan sebagai beras tradisional premium bagi pasaran niche, yang mampu dijual melebihi RM15 sekilogram di pasaran... contohnya, harga runcit Beras Bario boleh mencecah RM28 sekilogram di bandar raya Kuching (termasuk kos logistik),” katanya. - Bernama