'Ustaz Budak' akhirnya ke penjara

Iklan
Syamsul Zaman menuju ke bilik Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

KOTA BHARU - Ustaz Budak akhirnya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 bulan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan hukuman dan sabitan atas kesalahan kelucahan melampau dengan mencium pipi dan mencabul seorang ahli perniagaan lelaki, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas selepas menolak rayuan dikemukakan oleh perayu, Syamsul Zaman Sukri, 35, dan mengarahkan pemenjaraan itu berkuat kuasa serta-merta.

Iklan
Iklan

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakimannya berkata, perayu yang juga mudir sebuah madrasah tahfiz di Machang itu tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan terhadapnya.

Kata beliau, tujuh perkara yang dibangkitkan oleh perayu termasuk mendakwa keterangan mangsa tidak boleh diyakini kerana isu percanggahan waktu namun mahkamah mendapati setiap orang mempunyai tahap ingatan yang berbeza dan perkara itu tidak menjejaskan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Iklan

"Oleh sebab itu, mahkamah ini mengekalkan sabitan dan berpendapat hukuman daripada Mahkamah Majistret sebelum ini adalah tepat serta memadai,” kata beliau.

Syamsul Zaman (kanan) hadir bersama Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser (kiri) ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mendengar keputusan rayuannya.

Mengikut pertuduhan itu, Syamsul Zaman yang juga seorang pendakwah didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan lelaki berusia 30 tahun termasuk mencium pipi di sebuah hotel di sini pada jam 1.15 pagi pada 16 Disember 2020.

Iklan

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada 9 Mac lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh didapati bersalah namun penangguhan hukuman terhadapnya dibenarkan sepanjang tempoh rayuan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Sebelum ini, Ustaz Budak dihadapkan ke mahkamah di negeri ini pada 13 pertuduhan melibatkan jenayah seksual terhadap beberapa mangsa lelaki termasuk bekas pelajarnya.