KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan kini berjumlah 1,679 orang berbanding 1,431 orang pada jam 8 pagi Selasa.
Sehingga jam 12 tengah hari Selasa, sebanyak 462 keluarga terjejas ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Kuala Nerus merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 740 mangsa daripada 199 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS.
Bagi daerah Marang, dua PPS sudah dibuka bagi menempatkan 259 mangsa daripada 66 keluarga yang terjejas banjir, manakala di Setiu pula seramai 26 mangsa daripada enam keluarga sudah dipindahkan ke dua PPS," kata kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, tujuh PPS yang dibuka di Kuala Nerus ialah Dewan Serba guna Kampung Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang, Dewan Sivik Batu Rakit dan SK Tok Jembal.
Tambah kenyataan tersebut, empat PPS dibuka di Kuala Terengganu iaitu SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.
"Di Marang pula, dua PPS dibuka iaitu SK Bukit Gasing dan SK Rusila manakala dua PPS dibuka di Setiu iaitu Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar," ujarnya.
Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.