PORTUGAL mara ke Kejohanan Euro 2024 di Jerman tahun depan dengan langkah bergaya ketika peminat meragui keupayaan jurulatih baharu, Roberto Martinez dan bintang sensasi, Cristiano Ronaldo yang semakin berusia.
Portugal melantik Martinez selepas mereka disingkirkan oleh Maghribi dalam saingan suku akhir Piala Dunia Qatar tahun lalu.
Dalam aksi itu, Ronaldo dimasukkan sebagai pemain gantian, selepas pengendalinya, Fernando Santos menggugurkan pemain 38 tahun itu daripada kesebelasan utama selepas berakhir saingan peringkat kumpulan.
Kemampuan jurulatih dari Sepanyol itu dipertikai selepas dia gagal membantu generasi emas Belgium - Kevin De Bruyne, Eden Hazard dan Romelu Lukaku - memenangi sebarang trofi atau mara ke final kejohanan besar sepanjang enam tahun melatih skuad tersebut.
Kehadiran Martinez telah mengubah nasib Portugal yang melakar rekod bersih dalam aksi kelayakan Euro kali ini, berbanding ketika mengambil alih pasukan itu yang hilang keyakinan selepas kalah kepada Maghribi.
Ronaldo pula membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak 10 gol sepanjang kempen kelayakan dan kembali membarisi kesebelasan utama Portugal.
"Sukar untuk saya jelaskan bagaimana seorang pemain berusia 38 tahun dan memiliki banyak kap berbanding pemain lain di dunia masih bersemangat seperti pemain berusia 18 tahun.
"Tenaga inilah yang memberi suntikan kepada pemain lain di dalam bilik persalinan. Dia adalah contoh terbaik, sangat beruntung memiliki pemain berpengalaman begini," ujar Martinez.
Ronaldo yang beraksi bersama Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi mengumpul 128 gol dalam 205 aksi antarabangsa selepas tampil buat kali pertama dua dekad lalu.