SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengumumkan akan memulakan gerak kerja bagi penubuhan Pusat Subfertiliti Negara pertama dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pusat tersebut akan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini serta latihan kepakaran di Malaysia.
"Diikuti tiga orang anak pada tahun 2000, 2.1 orang anak pada tahun 2010 dan terkini hanya 1.6 orang anak pada tahun 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan oleh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23).
Dalam pada itu, menurut Nancy, PERKKS 23 bertemakan ‘Penduduk dan Keluarga Mampan, Membangun Malaysia Madani’ itu turut menyediakan satu sesi khas perbincangan meja bulat.
Ujarnya, ia dibuat bertujuan bagi menghasilkan resolusi mengandungi cadangan dasar dan langkah intervensi untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara.
"Semua cadangan yang terkandung dalam resolusi adalah pelengkap kepada inisiatif intervensi yang sedang dirancang dan digerakkan oleh KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
"Sebagai makluman, penganjuran PERKKS 23 pada hari ini dan esok, masih meneruskan kerjasama strategik bersama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), selain penglibatan Merck Malaysia sebagai rakan kerjasama yang baharu,” ujarnya.