Rumah sewa dinaiki air, 49 pelajar UniSZA dipindah ke asrama

Iklan
Petugas banjir UniSZA bertindak membantu memindahkan pelajar terjejas banjir

KUALA NERUS - Seramai 49 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak telah selamat dipindahkan oleh petugas banjir dari universiti berkenaan selepas rumah sewa yang didiami mereka dilanda banjir pada Selasa.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar terbabit ke asrama di universiti tersebut susulan kediaman mereka dimasuki air akibat hujan lebat secara berterusan sejak pagi tadi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan dengan menggunakan aset milik UniSZA antaranya lori, bot, kayak serta van.

Seramai 49 pelajar yang menyewa di luar terjejas banjir ditempatkan di asrama UniSZA

"Setakat ini, petugas banjir UniSZA membawa seramai 49 pelajar yang menyewa di sekitar Kuala Nerus ke asrama pelajar di kampus di Gong Badak.

Iklan

"Kesemua pelajar yang terjejas telah menghubungi Task Force UniSZA memaklumkan bahawa rumah mereka dinaiki air dan mereka memerlukan bantuan pemindahan.

"Oleh itu, kita yang bersiap siaga dari segi logistik seperti lori, bot dan kenderaan berat sentiasa bersedia untuk membantu dan menjaga keselamatan pelajar," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan petugas banjir UniSZA juga sedang giat menjalankan misi bantuan menghantar bantuan makanan serta kemudahan pengakutan bagi warga universiti yang terjejas.