PUTRAJAYA - Sindiket pemalsuan pasport yang aktif sejak setahun lalu dengan beroperasi di satu unit apartmen di Kepong, di sini akhirnya dibongkar dalam serbuan pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Op Vista Mutiara yang dijalankan sepasukan Bahagian Risikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, kira-kira jam 6.30 pagi itu berjaya memberkas tiga lelaki warga Bangladesh.
Menurutnya, tangkapan pertama di sekitar Kepong membabitkan dua suspek berusia 26 dan 28 tahun yang disyaki berperanan sebagai orang kanan sindiket.
"Bertindak hasil soal siasat, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan operasi bertindak menyerbu sebuah apartmen dan menahan suspek utama yang juga dalang sindiket dikenali sebagai 'Shimul' berusia 33 tahun," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Beliau berkata, serbuan di kediaman itu telah merampas 16 naskah pasport Indonesia dan Bangladesh disyaki palsu, dua komputer riba dan mesin pencetak.
Katanya, modus operandi sindiket ialah menyasarkan warga asing dari negara sumber seperti Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan dan Nepal yang tidak mempunyai pasport dan dokumen pengenalan diri.
"Pasport ini akan dijual dengan harga sekitar RM500 hingga RM700.
Tambah Ruslin, sindiket menjadikan apartmen terbabit sebagai tempat mencetak pasport dan siasatan juga dijalankan sekiranya terdapat pembabitan warga tempatan mahu pun syarikat kurier.
"Serahan pasport itu dikesan dibuat secara pos dengan pembayaran melalui dalam talian," ujarnya.
Tegasnya, kesemua suspek kini direman 14 hari untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.