IWK sasar kurangkan pelepasan karbon menjelang 2027

Iklan
Nik Nazmi (kiri) mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 1 IWK pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menyasarkan pengurangan pelepasan karbon menjelang 2027 melalui inisiatif solar photovoltaic (PV).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, amalan teknologi hijau yang diamalkan IWK bukan sahaja dapat mengoptimumkan kos operasi, namun ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2040.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 396 tapak loji rawatan kumbahan (LRK) telah dipilih secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Mengambil kira hubungan kukuh antara sektor awam dan swasta, IWK menjalinkan kerjasama dengan pakar-pakar pemasangan solar PV dalam usaha ke arah penyelesaian tenaga mampan.

Iklan

"IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan empat syarikat untuk melaksanakan projek ini melalui beberapa pakej.

"Keempat-empat syarikat berkenaan akan melaburkan jumlah perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM84 juta bagi pemasangan 396 tapak,” katanya ketika dalam lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 1 IWK pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan, penilaian secara terperinci sedang dijalankan bagi pelaksanaan Fasa 2 yang melibatkan 583 tapak berpotensi menjana 21,500 MWj tenaga solar setahun.

Nik Nazmi berucap sempena lawatankerja beliau ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai 1 IWK pada Selasa.

Ujarnya, ia akan menyumbang penjimatan tahunan tambahan sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027.

"Inisiatif projek PV solar akan beroperasi di bawah model Kegunaan Sendiri (SelCo), yang mana semua tenaga solar dijana akan digunakan di LRK IWK tersebut.

"Penilaian terperinci telah dijalankan di 8,874 LRK dan rangkaian pam stesen (NPS) untuk menentukan daya maju pemasangan solar PV,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, terdapat 1,811 tapak daripada 8,874 loji rawatan kumbahan termasuk stesen pam IWK yang berpotensi untuk penggunaan tenaga solar.

Beliau memberitahu, penilaian tapak itu dibuat berdasarkan penggunaan tenaga di kawasan loji berkenaan dan ia merupakan kawasan matang dari segi kapasiti sistem bersambung serta berstatus loji tetap.

"IWK kekal komited terhadap usaha melestarikan alam sekitar. Kami mengaplikasikan pelbagai teknologi hijau di LRK terpilih seperti pemasangan solar PV dan penggunaan semula bioproduk biogas yang dijana melalui proses rawatan untuk menghidupkan loji.

"Ini merupakan beberapa contoh cara IWK menyokong matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.