Banjir: Warga emas kudung didukung anggota APM

Iklan
Anggota APM membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto APM

KUALA NERUS - Seorang wanita warga emas kudung kaki didukung kira-kira 20 meter oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari rumahnya untuk menaiki lori pasukan penyelamat itu dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Taman Murni Permai di sini hari ini.

Siti Fatimah Meli, 63, yang kudung kaki kanan hingga paras lutut selepas dipotong akibat penyakit kencing manis berkata, dia bersama lima anggota keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal selepas rumah mereka dinaiki air pada jam 5 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Menurut Siti Fatimah, pada mulanya mereka sekeluarga enggan berpindah kerana keadaannya yang lemah dan sukar bergerak, namun situasi banjir semakin buruk menyebabkannya terpaksa mendapatkan bantuan APM memandangkan kawasan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

"Mak cik baru sahaja menjalani pembedahan sebulan lepas, risau luka yang belum sembuh terkena jangkitan kuman. Nak bergerak pun susah harapkan anak-anak tolong tolak kerusi roda kerana tangan mak cik tak kuat.

Iklan

"Memang susah sikit tinggal di PPS, tetapi itu sahaja pilihan yang ada kerana rumah anak-anak juga banjir," katanya ketika ditemui di PPS berkenaan.

Siti Fatimah berkata, hampir setiap tahun rumahnya dilanda banjir, namun kali ini disifatkan paling teruk hingga paras lutut dan air juga naik dengan cepat sama seperti banjir besar pada 2014.

Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 1,431 orang pada jam 8 pagi kepada 1,482 orang sekitar 10 pagi.

Portal rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan Jalan FT14 Kuala Terengganu-Kuala Berang, ditutup satu lorong kepada semua kenderaan. - Bernama