KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Februari tahun depan untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, lima tahun lepas.
Tarikh sama juga ditetapkan untuk keputusan rayuan Samirah dan dua remaja itu untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi, termasuk penemuan bahawa kebakaran itu yang tercetus di bilik Nazrin 'dilakukan dengan sengaja'.
Berdasarkan semakan mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan semasa pengurusan kes terbabit pada 16 November lepas secara dalam talian.
Pada 23 Oktober lepas, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pembelaan dan pendakwaan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah dan dua remaja tersebut menyelesaikan hujahannya pada 23 Oktober, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim selesai berhujah pada 17 Oktober.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 21 dan 18 tahun daripada tuduhan membunuh Nazrin selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Samirah dan kedua-dua remaja serta seorang wanita warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, telah didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.
Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja itu memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin"dilakukan dengan sengaja.” - Bernama