Padah curi duit bayar hutang along

Iklan
Muhammad Shafiq (tengah) dipenjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

MELAKA - Padah mencuri wang untuk melangsaikan pinjaman ah long, seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 21 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shafiq Nasir Lim, 23, sejurus lapan pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat curang telah mencuri lima bekas menyimpan wang, tiga beg silang dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM3,455.50.

Perbuatan itu dilakukan di gerai dan tepi jalan sekitar Duyong, Batu Berendam, Bukit Katil, Kota Laksamana, Telok Mas dan Bukit Rambai di sini, pada 13 Jun 2022 hingga 4 November 2023.

Iklan

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Shafiq (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana dia membuat perancangan rapi sebelum melakukan jenayah itu.

Iklan

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab. Malek bagaimanapun merayu hukuman penjara minimum dikenakan kerana hanya berpendapatan sebanyak RM1,1500 sebulan selain perlu menyara anak dan isteri yang sedang sarat mengandung.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga lima bulan dan berjalan secara berasingan bagi kesemua pertuduhan.