Perjuangan, urusan pentadbiran parti keutamaan pada PAT Bersatu

Iklan
Mohd Radzi

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung pada 23 hingga 25 November ini akan mengutamakan tekad perjuangan dan urusan pentadbiran dalam pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasanya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia merupakan salah satu daripada dua usul yang bakal dibincangkan selain penekanan terhadap perbahasan mengenai keadaan di Gaza, Palestin.

Iklan
Iklan

"Bagi usul pindaan perlembagaan, ia mengenai pentadbiran dan operasi Bersatu yang lebih kepada maklum balas daripada akar umbi serta penambahbaikan untuk mengukuhkan parti.

"Secara umumnya, kami membenarkan pembahas untuk bercakap apa saja isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan negara, yang penting ia bermanfaat,” katanya ketika sidang media PAT Bersatu di Publika di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Naib Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin.

Mohd Radzi yang juga Naib Presiden parti tersebut memaklumkan, atur cara PAT kali keenam itu akan dimulakan dengan perasmian serentak perhimpunan agung sayap Srikandi dan Armada bersama konvensyen sayap Srikandi Muda (Penaja) serta bersekutu.

Iklan

Tambah beliau, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka memulakan agenda persidangan dengan menyampaikan ucapan dasarnya di hadapan perwakilan dari seluruh negara seramai 2,054 orang.

"Ini merupakan salah satu perkara kita tunggu-tunggu untuk dengar pandangan dan juga fokus utama bagi mereka yang akan berucap dalam perbahasan,” ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan perhimpunan yang bakal berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, bekas Menteri Kanan Pendidikan terbabit menerangkan, pihaknya telah menyelesaikan perkara-perkara penting termasuklah isu logistik dan berharap agar persidangan berjalan lancar.

"Dalam tempoh tiga hari ini, apa yang paling penting adalah kualiti perbahasan dan input-input yang diterima daripada pembahas dapat membantu mengukuhkan Bersatu,” ulas beliau lagi.