PASIR PUTEH - Seorang ibu sedang berpantang dan bayinya berusia 29 hari antara 79 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini pada Selasa.
Maisanah Daud, 38, dari Kampung Dalam Rhu di sini terpaksa meredah banjir sedalam 0.4 meter bersama bayinya selepas rumah ditenggelami air sejak malam tadi.
Dia dan suami, Mohd Fadhli Hisham Yusof, 35, bersama empat orang anak mengambil keputusan berpindah awal kerana bimbangkan keselamatan anak-anak.
"Hal ini kerana keadaan saya yang sedang berpantang, jadi suami ajak pindah ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) SK (Sekolah Kebangsaan) Dalam Rhu," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, seorang remaja dari Kampung Pachakan, Nur Atia Natasha Mohd Zulkifli,13, bersama lima lagi adik-beradiknya yang berusia 15 hingga dua bulan terpaksa berpindah awal kerana air telah melimpah ke dalam rumah.
Dia yang menjaga adik-adiknya di PPS sementara ibu dan ayah terpaksa pulang ke rumah untuk mengemas.
Ramlah Sakti, 58, dari Kampung Dalam Rhu pula memberitahu dari malam tadi dia belum lagi melelapkan mata.
Tambah dia, hujan yang berterusan menyebabkan air naik terlalu cepat serta memaksanya mengemas rumah segera sebelum berpindah.
"Saya pindah dahulu ke PPS, suami masih di rumah," katanya.
Sementara itu mengikut aplikasi InfoBencanaBanjirJKM setakat jam 4 petang pada Selasa menunjukkan seramai 79 mangsa dari Pasir Puteh dan Bachok telah ditempatkan di tiga buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, SK Dalam Rhu dan SK Wakaf Raja.
Jumlah itu melibatkan 18 keluarga yang terdiri daripada 38 dewasa, 34 kanak-kanak dan tujuh bayi.