Shah Alam catat carian tertinggi pembeli rumah

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Portal hartanah, iProperty.com.my mendapati Shah Alam di Selangor merupakan kawasan yang mencatatkan carian tertinggi oleh pembeli rumah Malaysia menerusi laman webnya pada 2019.

Shah Alam terletak di Lembah Klang merekodkan peratusan carian sebanyak 17.14 peratus sekali gus menjadi pilihan paling utama untuk pembeli yang ingin menikmati kehidupan dalam persekitaran kehijauan dan lebih tenang di samping memiliki akses mudah kepada pelbagai kemudahan.

Iklan
Iklan

"Kawasan-kawasan yang mencatatkan carian popular di iProperty.com.my masih tertumpu di perbandaran Lembah Klang untuk rumah dan hartanah kediaman.

"Semua kawasan ini mempunyai satu persamaan iaitu akses mudah kepada pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, hospital, sekolah, sistem pengangkutan dan aktiviti ekonomi yang berkembang pesat,” menurut kenyataan bersama iProperty.com Malaysia Sdn Bhd dan REA Group Ltd semalam.

Iklan

REA Group, syarikat pengiklanan digital global yang mengkhususkan bidang hartanah merupakan pengendali iProperty.com.my.

Selain Shah Alam, lokasi Ara Damansara (16.98 peratus), Cheras (13.15 peratus), Bandar Utama (12.22 peratus), Semenyih (11.96 peratus), Petaling Jaya (7.91 peratus), Rawang (5.50 peratus), Subang Jaya (5.19 peratus), Johor Bahru (5.16 peratus) dan Puchong (4.79 peratus) juga antara kawasan popular berdasarkan data tingkah laku carian pengguna yang direkodkan penyelesaian data raya iProperty.com.my, iPropertyiQ.com.

Iklan

"Kawasan-kawasan ini mencatatkan jumlah carian tertinggi dalam kalangan pembeli rumah yang melayari iProperty.com.my bagi tempoh Januari hingga November 2019,” menurutnya.

iProperty.com.my yang menerima lebih tiga juta kunjungan setiap bulan, menawarkan pengalaman carian hartanah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. - Bernama