SHAH ALAM - Laman media sosial yang sebelum ini dikesan aktif dalam aktiviti penjualan air serta daun ketum secara terbuka telah diletakkan dalam mod privasi.
Tinjauan setakat jam 4 petang hari ini mendapati laman berkenaan diletakkan dalam mod privasi dipercayai susulan pembongkaran dilakukan Sinar Harian, Jumaat lalu.
Dipercayai mod privasi itu dibuat bagi memastikan tiada 'pemantauan' dibuat ke atas hantaran di grup tersebut secara mudah.
Sebelum itu, beberapa laporan berita mengenai pendedahan kegiatan terbabit telah dikongsi di grup tersebut hingga mencetuskan beberapa komen ahli grup agar laman itu diletakkan dalam mod privasi.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Unit Risikan Siber di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterusan melaksanakan pemantauan di media sosial bagi mengesan kegiatan pengedaran ketum di medium terbabit.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, ini termasuklah aplikasi sosial Facebook, Instagram, X, TikTok, Telegram selain platform e-dagang seperti Lazada serta Shopee.
Jaminan turut diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial.
Sinar Harian sebelum ini mendedahkan media sosial kini dijadikan medium oleh segelintir individu untuk mempromosikan jualan air dan daun ketum bagi mengaut keuntungan dengan mudah.
Tinjauan mendapati beberapa hantaran yang dibuat ahli kumpulan terbabit memaparkan aktiviti penjualan selain paparan gambar bungkusan air ketum, cara memasak dan sebagainya.
Malah penghantaran turut dibuat menggunakan beg e-hailing untuk mengaburi kegiatan mereka.
Berikutan pendedahan Sinar Harian itu, orang ramai meluahkan kebimbangan susulan kegiatan jenayah itu disifatkan semakin berleluasa dan perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.