20 murid terkandas, jalan ditenggelami air

Iklan
Kesemua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat. - Foto ihsan bomba

KUALA KRAI - Seramai 20 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang dan Sungai Embak bersama enam ibu bapa yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing terkandas apabila laluan ke Kampung Pasir Jering, di sini dinaiki air setinggi 0.7 meter pada Selasa.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi akibat limpahan Sungai Chenulang susulan hujan lebat sejak Isnin malam.

Iklan
Iklan

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Pegawai Bomba Kanan II Juniman Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada ibu bapa murid yang meminta bantuan kerana tidak dapat melalui jalan yang ditenggelami air sepanjang kira-kira 500 meter.

Katanya, bomba kemudian melancarkan operasi membantu mereka menyeberangi sungai itu menggunakan sebuah bot.

Iklan

"Saya dimaklumkan sebelum itu, pihak ibu bapa menggunakan jalan tersebut lebih awal sebelum dinaiki air untuk mengambil anak masing-masing di sekolah.

"Semasa pulang mereka tidak dapat melalui jalan itu dan pihak bomba membantu membawa mereka menyeberangi sungai sebanyak dua trip,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, seramai lapan anggota terlibat membantu mangsa bermula jam 12 tengah hari dan selesai sepenuhnya pada 3.50 petang.

Ujarnya, keadaan air sungai tersebut juga berarus deras, namun kesemua mereka dapat dipindahkan dengan selamat.

"Masing-masing terpaksa meninggalkan kenderaan dan dibawa menaiki bot bomba menyeberangi sungai sejauh dua kilometer untuk pulang ke rumah,” kata beliau.