Peti besi antimemancing atasi masalah kecurian tabung masjid

Iklan
Amirul (tiga dari kanan) dan Nash (tiga dari kiri) pada sesi pengenalan tabung atau peti besi antikecurian di Surau Al-Hijrah Kota Warisan, Sepang.

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Peti besi bercirikan sistem keselamatan tinggi dengan plat besi antimemancing direka khas mampu menyelesaikan masalah kecurian tabung masjid dan surau.

Tabung yang turut dilengkapi sistem digital itu merupakan produk buatan pertama di Malaysia keluaran Terus Bersahabat Resources (TBR) yang telah menjalankan tempoh penyelidikan selama tiga tahun sebelum dikomersialkan.

Iklan
Iklan

Pengasas TBR, Amirul Fahmi berkata, produk berkenaan didatangkan dengan berat 420 kilogram (kg) dan 520kg yang dijamin dari segi ketahanan dan tahan lasak termasuk tidak mudah kopak serta plat antigerudi.

"Antara ciri keselamatan lain ialah menggunakan bolt jenis padat, rintangan api dan tidak terkesan banjir. Ia turut dilengkapi sistem kunci tersembunyi, kunci tata kira digital dan kunci silinder serta laci mudah alih.

Iklan

Tabung dwifungsi ini menggunakan sistem penerimaan wang automatik dan manual.

"Tabung tersebut mempunyai dwifungsi yang menggunakan sistem penerimaan wang automatik dan turut boleh digunakan dengan kaedah manual," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Amirul berkata, keunikan lain yang terdapat pada tabung berkenaan adalah bacaan doa dialunkan penyanyi kumpulan rock, Datuk Nash atau nama penuhnya Nashrudin Elias yang dilantik sebagai duta kepada produk berkenaan.

"Apabila duit dimasukkan ke tabung tersebut, akan kedengaran bacaan doa dialunkan oleh Datuk Nash. Diharapkan, ia memberikan galakan pada masyarakat untuk terus berinfak dan bersedekah," katanya.

Katanya, kemudahan tersebut sudah berada di pasaran dengan tabung pertama telah ditempatkan di Surau Al-Hijrah Kota Warisan, Sepang.

Beliau berkata, syarikat menawarkan pakej menarik bagi pihak pengurusan masjid dan surau yang berminat untuk memiliki tabung berkenaan pada harga RM8,800 bagi berat 420kg manakala RM9,800 bagi 520kg.

Katanya, di peringkat permulaan, pihaknya menyasarkan mengedarkan 100 tabung dalam tempoh enam bulan dan menawarkan penghantaran percuma ke Lembah Klang untuk 30 tabung terawal.

"Selain itu, kami juga menyediakan pakej bayaran ansuran selama 12 bulan atau pakej sewa beli RM300 sebulan untuk tempoh lima tahun.

"Penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab syarikat sepanjang lima tahun tempoh jaminan," katanya.

Tabung ini memuatkan bacaan doa yang dialunkan oleh Nash (tengah).

Sementara itu, Nash yang ditemui pada sesi pengenalan tabung berkenaan berkata, pihaknya berbesar hati terpilih sebagai duta yang disifatkan platform buatnya untuk meluaskan dakwah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ibadah infak.

"Alhamdulillah atas kepercayaan yang diberikan, saya diberikan peluang untuk menyumbang suara. Mereka yang infak ke tabung ini akan dapat mendengar bacaan doa daripada suara saya.

"Saya terharu apabila kelebihan suara yang ALLAH SWT anugerahkan ini dapat dipanjangkan kepada umat yang memberikan infak," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap lebih banyak syarikat korporat dapat tampil dari segi penajaan bagi memperluaskan kemudahan itu ke masjid dan surau di seluruh negara.

"Kita ada buat kunjung hormat di masjid dan surau bagi memberi pengenalan produk ini dan kebanyakan daripada mereka teruja untuk menggunakan kemudahan ini yang dilihat sangat baik untuk atasi isu kecurian tabung.

Infografik memaparkan ciri-ciri khas tabung TBR.

"Cuma harganya agak mahal disebabkan kos pembuatan tinggi kerana direka dengan sangat teliti dan menggunakan bahan berkualiti.

"Mungkin ada beranggapan harga ini agak mahal, ini kerana kos pembuatan tinggi dan direka dengan sangat teliti selain menggunakan bahan yang berkualiti," katanya.