JOHOR BAHRU - Pemilik sebuah gedung tekstil di daerah ini yang mendakwa dirinya keturunan Kemboja dan menyifatkan orang Melayu sebagai pemalas, perlu belajar menghormati adat dan budaya Bangsa Johor.
Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, wanita berkenaan perlu peka dengan sensitiviti masyarakat di negeri ini dan tidak wajar bergurau dalam perkara yang tidak sepatutnya.
Menurutnya, setiap gurauan ada hadnya dan membuat perbandingan secara menghina tidak harus ada dalam kalangan Bangsa Johor.
"Wanita itu tidak sensitif sebagai rakyat Malaysia. Kenapa guna cara perbandingan untuk bergurau. Pada saya Bangsa Johor lebih sederhana dan tidak akan buat perkara yang boleh menggores perasaan bangsa lain.
"Sebagai individu yang menetap (di Johor) dia perlu belajar menghormati dan jadi Bangsa Johor yang faham tentang adat resam di Johor," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Terdahulu tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat memaparkan wanita berkenaan mengadakan penstriman langsung dalam sebuah gedung pakaian Muslimah.
Menerusi rakaman video berkenaan, wanita terbabit yang dikenali sebagai Makcik Kemboja atau Madame Mariyah mengakui dirinya adalah warga Kemboja yang sudah lama menetap di negara ini.
Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan wanita itu menyatakan dia hanya bergurau dan berkata, orang Melayu atau Kemboja tiada beza.
Susulan itu, pemilik gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai itu dikecam netizen sebelum membuat permohonan ampun dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu tersebut.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Persatuan Penjaja, Peniaga, Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor, Zaini Atan berkata, peniaga atau usahawan tidak perlu bertindak melampau dengan menghina kaum atau bangsa, semata-mata untuk melariskan jualan.
Katanya, sikap merendah-rendah atau menghina adalah perbuatan yang dilarang dalam agama Islam.
"Saya ada lihat video viral usahawan Kemboja itu, saya tidak setuju dia terlalu melampau dan merendah-rendahkan Melayu, tidak boleh masuk akal (tuduhan Melayu pemalas). Ramai sahaja Melayu yang kaya tetapi tidak menunjuk-nunjuk.
"Apa yang dikatakan itu adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima. Sebenarnya tindakan wanita itu hanya akan merosakkan dan membunuh perniagaannya sendiri.
"Semoga menjadi pengajaran kepada dia dan peniaga di luar sana," ujar Pengerusi Majlis Gabung NGO Melayu Johor itu.