MB Kelantan arah semua agensi, wakil rakyat bantu mangsa banjir

Iklan
Operasi menyelamat mangsa banjir di Pasir Puteh dilakukan oleh anggota JBPM.

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengarahkan semua agensi terlibat termasuk wakil rakyat membantu penduduk di kawasan masing-masing yang terkesan dengan banjir.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa peka dengan situasi cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama arahan untuk berpindah sebelum menjelang waktu maghrib.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu turut berpesan supaya menunaikan solat hajat dan berdoa kepada ALLAH SWT untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan agar negeri ini dilindungi daripada banjir besar.

"Ia susulan amaran hujan berterusan (buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 21 November.

Iklan

"Awasi keselamatan ahli keluarga, kanak-kanak dan orang tua," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Salah seorang anggota JBPM mendukung seorang warga emas uzur di Machang semasa sesi menyelamat mangsa banjir.

Menurut beliau, hasil simulasi model ramalan banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kejadian banjir akibat limpahan air sungai boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di negeri ini.

Iklan

Ujarnya, paras air di Sungai Golok, Sungai Jawi di Pasir Mas dan Sungai Kelantan menunjukkan kenaikan.

Sinar Harian hari ini melaporkan, sistem saliran tersumbat dan tidak dapat menampung hujan berterusan dipercayai menjadi punca banjir di Pasir Puteh yang mengakibatkan 148 mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu, SK Wakaf Raja dan SK Sungai Petai.

Selain itu, seramai 30 mangsa banjir di Bachok ditempatkan di PPS SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.