KOTA KINABALU - Seorang lagi suspek dipercayai berperanan sebagai 'orang tengah' berkaitan aktiviti mengeluarkan 'lesen terbang' ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, pada Selasa.
Menurut sumber, suspek lelaki warga asing berusia 40-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2021 dan 2022 serta disyaki memberikan wang rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.
"Modus operandi yang dilakukan oleh 'orang tengah' ini adalah dengan meminta wang rasuah daripada setiap calon antara RM400 hingga RM1,200 dan kemudian diberikan kepada penguat kuasa bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
"Suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Lahad Datu, jam 9 pagi esok," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan empat anggota penguat kuasa ditahan SPRM Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada ejen dan calon yang mengambil lesen memandu.
Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Selasa membenarkan kesemua suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.