SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) meletakkan strategi baharu dengan menampilkan calon yang berpotensi untuk meraih kepercayaan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi berkata, ia merupakan salah satu inisiatif parti tersebut untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan.
"Kita pernah alami kekalahan teruk, tiada satu pun Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipegang oleh BN. Jadi kita sedar bahawa strategi itu gagal dan kita fikirkan strategi lain untuk meraih semula kepercayaan pengundi.
"Melalui kaedah ini ia membuktikan BN bersedia untuk membantu rakyat walaupun calon bukan daripada kalangan ahli UMNO atau orang politik seluruh Malaysia,” katanya selaku panelis Wacana Sinar Edisi 421 yang membincangkan tajuk ‘Kemaman kubu kuat siapa?’ pada Selasa.
Program yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian dan dihoskan oleh Ismail Adnan itu menggandingkan Shamellya bersama dua lagi panelis iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.
Menurut Shamellya, BN komited terhadap proses rejuvenasi parti tersebut bukan hanya dengan meletakkan calon berdasarkan hierarki dalam kawasan atau Parlimen tetapi mengetengahkan individu yang mampu meraih kepercayaan pengundi.
Ujarnya, sebelum ini parti tersebut pernah meletakkan nama besar sebagai calon tetapi tidak meraih kemenangan.
"Mungkin inilah langkah seterusnya yang diambil oleh BN untuk mengetengahkan calon yang tidak berada dalam kelompok politik.
"Seperti PRN yang lalu, beberapa calon yang bukan dari bidang politik juga berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan. Jadi apa salahnya jika BN juga melakukan hal sama bagi menarik kepercayaan daripada pengundi,” jelasnya.
Tambah Shamellya, pemilihan calon yang berasal dari daerah itu adalah pilihan tepat kerana ia akan menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan negeri dan persekutuan sekiranya memenangi PRK tersebut.
"Jangan sia-siakan peluang memilih calon BN untuk menjadi jambatan daripada kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada pengundi di Kemaman.
"Bagaimanapun, BN tidak akan menabur janji manis untuk menarik perhatian pengundi tetapi tidak salah sekiranya rakyat memberi peluang kepada muka baharu untuk memimpin di kawasan tersebut,” ujarnya.