Nasib malang Kelantan FC

Iklan
Aksi Liga Super antara Kelantan FC dan Sabah FC di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin.

BOLOS 102 gol sudah cukup membayangkan nasib malang Kelantan FC dalam saingan Liga Super musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi.

Situasi itu menjadikan skuad The Red Warriors (TRW) sebagai pasukan terbanyak bolos dalam sejarah Liga Malaysia (Liga-M) untuk semusim.

Iklan
Iklan

Terbaharu, Kelantan FC dibelasah Sabah FC apabila mengalami kekalahan 0-7 dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin.

Secara keseluruhan, Kelantan FC sudah bolos 132 gol dalam semua pertandingan musim ini termasuk Piala FA (empat gol), Piala Malaysia (15 gol) dan Piala Cabaran (11 gol).

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan, TRW akan cuba melakukan sesuatu dalam baki perlawanan musim ini bagi mengelak terus dibolosi dengan jaringan besar.

"Pertama, saya minta maaf atas kekalahan demi kekalahan sehingga dibelasah teruk.

Iklan

"Saya faham semuanya termasuk soal maruah.

"Saya telah nyatakan dari awal apabila kita tidak dapat daftar pemain, kita akan menerima nasib demikian apabila kita angkat pemain muda bermain.

"Pemain muda kita kurang pengalaman, namun mereka ini produk masa depan.

"Kita akan hadap baki perlawanan,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Selasa.

Rekod bolos terbanyak dalam tempoh semusim Liga Super sebelum ini dilakar PDRM apabila skuad The Cops itu melepaskan 75 gol pada edisi 2009.

Kelantan FC masih mempunyai baki tiga perlawanan berdepan Kedah Darul Aman (KDA), PDRM FC dan Kelantan United FC, dengan jumlah bolos tersebut dijangka terus meningkat.

Dalam pada itu, Ahmad Muzakkir dilaporkan sudah bertemu dengan pemain untuk menjelaskan mengenai masalah kewangan dan tunggakan bayaran gaji.

"Soal gaji tertunggak, saya jumpa sebahagian pemain semalam (Isnin) dan terangkan, malah mereka menerima penerangan.

"Tiada syarikat atau pemilik nak melewatkan gaji jika tidak mengalami masalah kerugian.

"Semestinya pemilik 100 peratus berusaha untuk selesaikan masalah ini dan saya sebagai CEO, 100 peratus berusaha ke arah membawa balik penaja,” ujarnya.