PENIAGA di zon bebas cukai di Rantau Panjang, Kelantan mendakwa hilang punca pendapatan apabila pintu satu dan tiga Pusat Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) ditutup kepada orang ramai sejak November tahun lalu.
Kedua-dua pintu masuk itu ditutup bermula jam 10 malam hingga 6 pagi, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang menyangka ‘syurga’ membeli-belah itu ‘mati’ pada sebelah malam.
Menerusi Apa Khabar Rakyat, wartawan HAZELEN LIANA KAMARUDIN mendengar keluhan dan luahan peniaga terlibat.
LEBIH 30 peniaga makanan serta runcit yang berniaga pada sebelah petang di zon bebas cukai Rantau Panjang mendakwa mengalami kerugian kerana hanya dapat berniaga selama kira-kira tiga jam pada sebelah malam.
Peniaga makanan, Rosli Nawi, 39, berkata, dia cukup terkesan dengan penutupan pintu satu dan tiga itu kerana mula berniaga pada jam 7 malam.
"Sebelum ini saya boleh berniaga sehingga larut malam kerana kebanyakan pelanggan adalah dari luar Rantau Panjang yang melalui laluan ini.
"Sejak itu pendapatan saya dan rakan-rakan lain mulai merosot dan paling menyedihkan apabila ramai yang beranggapan pekan ini langsung tidak beroperasi pada sebelah malam.
"Hendak mengharapkan pelanggan tempatan memang sukar kerana ramai yang berbelanja di sini adalah orang dari luar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, walaupun pintu dua dibuka namun orang ramai keliru kerana lokasinya agak tersorok.
Tambah Rosli, jika Kelantan sering dikatakan dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan, mereka menganggap Rantau Panjang seperti dianaktiri oleh kerajaan negeri.
Peniaga kedai makan, Pausi Mamat, 58, pula memberitahu golongan yang paling terkesan ialah peniaga pasar malam pada Jumaat dan Sabtu.
Ujarnya, pada kebiasaannya kawasan zon bebas cukai bukan sahaja meriah pada sebelah siang tetapi juga malam.
Dia berkata, orang ramai berkunjung ke situ untuk makan kerana terdapat pelbagai jenis menu yang setanding dengan negara jiran.
"Kami pernah berjumpa dengan beberapa pihak terlibat namun jawapan yang diberikan tidak jelas.
"Ini kali pertama pintu masuk ditutup semenjak zon bebas cukai ini dibuka sejak tahun 2003 lagi,” katanya.
Peniaga lokcing, Sopian Sautar, 40, pula mendakwa, bukan jualannya sahaja menurun malah punca rezeki peniaga lain turut terjejas.
Katanya, mereka hanya mampu berniaga untuk menyara keluarga dan jika masalah itu berterusan, dia bimbang kehidupan golongan peniaga terlibat akan terjejas.
"Saya dan peniaga lain merayu pihak berkaitan untuk mendengar masalah kami ini,” katanya.
Buka pintu seperti biasa atau lanjutkan waktu
Sementara itu, peniaga di zon bebas cukai Rantau Panjang merayu supaya pintu satu dan tiga Pusat Pemeriksaan Kastam dibuka semula kepada orang ramai seperti biasa.
Wakil peniaga, Hazrul Abd Manaf, 41, berkata, pembukaan semula pintu tersebut seperti biasa diyakini akan merancakkan semula ekonomi di zon bebas cukai Rantau Panjang pada sebelah malam.
"Atau buka pintu satu dan dua sahaja untuk orang ramai.
"Jika itu sukar untuk dilaksanakan kami cadangkan waktu operasi dilanjutkan dari jam 10 kepada 12 tengah malam,” katanya lagi.
Menurutnya, dengan cara itu, sekurang-kurangnya peniaga dapat berniaga lebih masa jika dibandingkan sekarang iaitu hanya tiga jam.
Ujarnya, tempoh lima jam itu dilihat lebih relevan sekali gus membolehkan orang ramai dapat berbelanja dengan tenang.
Peniaga makanan, Rosli Nawi, 39, pula berkata, antara cadangan lain ialah pihak berkenaan membuka kesemua pintu selama 24 jam pada Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
"Empat hari ini adalah lubuk rezeki buat peniaga-peniaga kerana ramai pengunjung luar dari Kelantan akan datang untuk membeli-belah di sini.
"Kami sangat berharap beberapa cadangan yang diberikan ini akan didengari dan dipertimbangkan oleh pihak terbabit,” katanya.
Menurut Rosli, perkara itu perlu dipertimbangkan dan diperhalusi dengan sebaik-baiknya kerana melibatkan punca rezeki peniaga.
Dalam pada itu tambahnya, pihak terlibat diharap dapat mengecilkan skop zon bebas cukai kerana 30 peratus sahaja melibatkan gedung, manakala 70 peratus lagi adalah rumah penduduk.