PUTRAJAYA - Sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak akan menghalang kerajaan untuk melakukan penelitian dan perbincangan melalui Jawatankuasa Khas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa itu dijadual bersidang pada 4 Disember depan.
"Di kesempatan yang sama saya singgung bahawa kerajaan menghormati sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen tersebut," katanya menerusi laman sosial pada Rabu.
Ujar Anwar, sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang dikemukakan akan dimohon untuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen.
Terdahulu, peguam Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan petisyen itu dengan mendakwa 18 peruntukan yang terkandung di dalam enakmen tersebut adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Dalam pada itu Anwar terus mempertikaikan tindakan pembangkang yang didakwa cuba mengaitkan kerajaan pimpinannya dengan petisyen tersebut.
"Adalah tidak wajar untuk mengaitkan kerajaan dengan dakwaan dan sangkaan jahat kononnya pihak kerajaan menentang pemerkasaan undang-undang syariah.
Itu yang saya jelaskan sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam (Selasa)," katanya.
Ujar beliau, pembangkang dan kerajaan sepatutnya duduk bersama bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.
"Tetapi pembangkang lebih berminat mencari modal politik, melaga-lagakan, menanam bibit.
Walhal, kes ini bermula saat mereka semua di dalam kerajaan," katanya.
Tambah Anwar, Kerajaan Perpaduan telah memulakan tindakan dengan menubuhkan jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja sebagai usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.
"Kerajaan dahulu buat apa?" soalnya sinis.