PM digesa campur tangan pindaan undang-undang kesatuan sekerja

Iklan
Piawaian buruh antarabangsa tidak menyokong sebarang undang-undang yang melemahkan kuasa rundingan kesatuan sekerja dan tidak menggalakkan kerajaan meminda perundangan bagi mengawal kesatuan sekerja. - Gambar hiasan, gambar kecil: Callistus Antony D’Angelus

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk campur tangan dalam pindaan undang-undang kesatuan sekerja yang didakwa akan menyekat kekuatan pergerakan kesatuan pekerja secara keseluruhannya.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Anthony D’Angelus berkata, sekiranya pindaan berkenaan dilaksanakan, ia akan memundurkan agenda Anwar untuk negara ini.

Iklan
Iklan

Dakwanya, Rang Undang-undang (RUU) Kesatuan Sekerja yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini hanya akan membuatkan pengaruh kesatuan sekerja merosot untuk tempoh jangka panjang.

"Malah akan semakin kurang lagi pengaruh politik yang ada pada pekerja. Ini akan melemahkan lagi hak tawar-menawar pekerja di Malaysia. Aspirasi untuk merapatkan jurang kekayaan dan pendapatan tidak akan dapat direalisasikan, bahkan akan menjadi lebih buruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pada 10 Oktober lalu dilaporkan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibahas 14 ahli Parlimen.

Callistus mendakwa, Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang mencadangkan pindaan berkenaan jelas mahu berganding bahu dengan perniagaan-perniagaan untuk mengawal pengaruh pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini.

Iklan

"KSM secara selektif menggunakan piawaian buruh antarabangsa sebagai asas untuk membuat perubahan dalam sistem perhubungan perindustrian di negara ini,” ujarnya.

Namun, beliau menegaskan, piawaian buruh antarabangsa tidak menyokong sebarang undang-undang yang melemahkan kuasa rundingan kesatuan sekerja dan tidak menggalakkan kerajaan untuk meminda perundangan bagi mengawal kesatuan sekerja.

"Belum terlambat untuk Perdana Menteri mencampuri (pindaan undang-undang ini) secara peribadi, malah (saya tekankan ringkasan) petikan pandangan Edmund Burke (pakar teori politik) kepada pengundi di Bristol bahawa ‘Perdana Menteri mesti bertanggungjawab kepada rakyat atas keputusannya’,” tambahnya.

Callistus memberitahu, Anwar menghadapi pelbagai cabaran sejak mengetuai pentadbiran negara selepas mewujudkan gabungan bersama bekas seterunya bagi membentuk kerajaan dan ikatan itu ketika ini dilihat masih kukuh.

"Satu perkara paling diutamakan Perdana Menteri adalah meningkatkan taraf hidup masyarakat B40 dan M40 yang terkesan akibat krisis kos kehidupan meruncing.

"Pelbagai faktor perlu digabungkan bagi memenuhi tujuan ini secara berterusan, termasuk tidak kurang pentingnya untuk memberikan pekerja dan wakil mereka ruang sebaik-baiknya dalam keseluruhan sistem demokrasi berperwakilan,” ujarnya.