KUALA SELANGOR - Salah seorang pasangan kembar sempat memesan ibu mereka, Siti Salmah Mat Jasmin, 48, membeli kek dua tingkat sebelum maut dalam kemalangan di Jeram pada Selasa.
Bapa tiri pasangan kembar itu, Shahrom Ahmad, 63, berkata, pesanan terakhir itu diungkap Muhammad Arif Mohd Ashar, 18, ketika menghubungi Salmah sewaktu dia dan isteri mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ijok sehari sebelum nahas mengorbankan dua beradik kembar berkenaan.
Menurutnya, sejurus pulang mendapatkan rawatan, dia dan isteri singgah membeli kek di Sungai Buloh, Jeram.
"Sebenarnya ulang tahun kelahiran kedua-dua beradik kembar pada 5 Oktober lalu, namun arwah (Muhammad Arif) beritahu ingin menyambut sekali dengan abang ketiganya.
Muhammad Arif dan kembarnya, Muhammad Hafis, 18, yang terlibat dalam kemalangan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki mereka melanggar van yang ingin membelok di Jalan Rizab Derahman, Jeram di sini pada Selasa.
Shahrom memberitahu, kek itu sepatutnya mereka jamah pada malam Selasa bersama-sama keluarga.
"Kebetulan pada (Isnin) malam, mereka dari tempat kerja pulang lewat ke rumah dan kami pula sudah tidur.
"Kami cadang hendak sambut malam semalam (Selasa), tetapi hanya jenazah mereka sahaja singgah di rumah ini buat tatapan kali terakhir," kata Shahrom.
Shahrom berkata, kejadian kemalangan itu dimaklumkan isteri yang menghubunginya pada hari kejadian.
"Saya terkejut apabila orang ramai yang ada di tempat kejadian memaklumkan dua kembar sudah tidak bernyawa," ujarnya.
Menurutnya, kehilangan dua beradik kembar itu amat dirasai apatah lagi menganggap mereka seperti anak kandung.
"Saya sudah menjaga mereka sejak kecil lagi dan hubungan kami mereka rapat, malah saya akui terkesan dengan pemergian mereka," kata Shahrom.
Abang pasangan kembar, Muhammad Zulhelmi, 23, berkata, kedua-dua adiknya itu baharu sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bercita-cita tinggi membina kerjaya suatu hari nanti.
Jelasnya, Allahyarham Muhammad Arif memasang impian menjadi anggota polis manakala Muhammad Hafis pula tentera.
"Mereka sebelum ini bekerja sebagai operator kilang sebuah syarikat kurier, tetapi sudah ketentuan apabila mereka menemui Ilahi terlebih dahulu," katanya.
Jenazah pasangan kembar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah, kira-kira jam 5 petang Selasa.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, pasangan kembar yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah van di Jalan Rizab Derahman, Jeram di sini, pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, kejadian jam 11.50 pagi itu berlaku ketika pasangan kembar berusia 18 tahun itu dari rumah mereka di Jalan Bukit Kuching ke tempat kerja di Puncak Alam.