KUALA LUMPUR – Semua pembahas Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini diberi kebebasan untuk berbahas, memberikan nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara dibangkitkan dalam perbahasan itu kemudiannya akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan untuk memacu parti ke arah yang lebih baik.
"Dengan tema Kongres ‘Memaknai Reformasi, Menjulang Madani’, isu-isu terkait kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tata kelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan yang disampaikan oleh pembahas.
"Sudah tentu isu utama berhubung kos sara hidup, isu perpaduan dan 3R (agama, kaum dan raja), isu rasuah dan penyelewengan kuasa antara topik yang akan dipilih oleh pembahas kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, melalui kongres itu PKR juga akan sekali lagi menegaskan mesej dan pendirian parti terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak tercetusnya kemelut Palestin dan negara haram Israel.
Menurutnya, PKR akan mengadakan slot khas untuk memperingati mangsa-mangsa kekejaman Israel pada hari pertama kongres.
Kata Saifuddin, Kongres Nasional Tahunan berkenaan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan dasarnya sekali gus merasmikan kongres tersebut pada jam 9 malam Sabtu.
"Acara tahunan ini akan dimulakan dengan Kongres Nasional Angkatan Muda PKR dan Kongres Nasional Wanita PKR pada sebelah pagi (Sabtu) bermula dari jam 8 pagi sehingga jam 6.30 petang.
"Ini adalah Kongres tahunan pertama yang akan dihadiri sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun PKR bersama-sama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. Kongres akan dimeriahkan dengan kehadiran seramai 2,374 perwakilan dan 1,500 pemerhati dari Sabah hingga Perlis,” tambahnya.
Ujar beliau, kongres terbabit juga akan turut dihadiri pimpinan utama dari parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan selain turut menerima kehadiran 50 kedutaan asing.