KUALA LUMPUR - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyangkal dakwaan bahawa kegagalan pemulihan ekonomi negara ketika ini salah satunya berpunca kerana jawatan Menteri Kewangan disandang oleh Perdana Menteri.
Selain itu, Rafizi turut tidak bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik seorang Menteri Kewangan penuh bagi menguruskan hal ekonomi negara.
Jelas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, Perdana Menteri adalah antara individu yang paling layak untuk memegang jawatan Menteri Kewangan dalam memastikan isu tatakelola perolehan adalah telus, dan tidak berlaku seperti pentadbiran terdahulu.
"Pandangan saya kepada Pagoh (Muhyiddin), itulah silapnya sebelum ini kerana Perdana Menteri memusatkan semuanya kepada dia. Jadi dia tidak sempat buat.
"Urusan dari segi tatakelola kerana Menteri Kewangan bertanggungjawab memastikan proses perolehan itu benar-benar telus. Sebab itu pandangan saya, tokoh yang paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Rafizi menjawab soalan tambahan Muhyiddin (PN-Pagoh), apakah sudah tiba masanya Perdana Menteri melantik seorang Menteri Kewangan penuh bagi memulihkan ekonomi negara.
Menjawab lanjut, beliau berkata ekonomi negara ketika ini berdepan masalah-masalah struktur seperti penglibatan dalam ekonomi tinggi, yang didakwa ditinggalkan oleh pentadbiran-pentadbiran yang dahulu.
Selain itu, Rafizi berkata, Malaysia juga berdepan masalah pasaran buruh seperti gaji dan bentuk-bentuk pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi.
Justeru beliau berpandangan, tugas untuk merungkai dan memulihkan ekonomi bukan hanya terletak di bahu Menteri Kewangan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan kerjasama pelbagai kementerian.
"Jadi dekat mana Pagoh kata ekonomi tidak pulih?
"Saya nak tanya balik kepada Pagoh, semasa Pagoh dan Perikatan Nasional (PN) jadi kerajaan selama 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut yang ada pertumbuhan ekonomi dari satu suku ke satu suku? Ini kali pertama (dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan)," ujarnya.
Rafizi menambah, keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan dalam menguruskan ekonomi semakin hari semakin pulih, termasuk keupayaan kerajaan menguruskan kadar kemiskinan.
"Kalau Pagoh dan PN tak yakin, tapi jangan salah guna nama rakyat dan pelabur-pelabur lain," katanya. - Awani