SEREMBAN - Seorang mekanik didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan khianat melempar sos cili ke perkarangan rumah seorang peminjam wang bulan lalu.
Majistret Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Kok Kar Wei, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika tertuduh gagal membayarnya.
Menurut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan khianat iaitu melemparkan plastik yang mengandungi cecair cili merah ke rumah seorang lelaki berusia 55 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 30 Oktober 2023 jam lebih kurang 9 malam di sebuah rumah di Laman Dahlia Nilai Impian, Nilai kira-kira jam 9 malam.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Peguam Amirul Hakim Ahmad Mahazir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerjasama yang diberikannya apabila datang dari Johor Bharu, Johor dan menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai selain menanggung isteri serta seorang anak berusia dua tahun.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu mangsa sama dan ahli keluarganya dengan menyimbah sos merah di perkarangan rumah dan pagarnya serta memberikan notis ugutan.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi dan tarikh sama.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dengan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Hakim Mazni Nawi menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa dan M Kalaivaanan.