KLUANG - Empat pemungut hutang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan keluarga peminjam bagi tujuan memecahkan keamanan awam.
S Chandran, 41; K Sri Murugan, 28; Ngoo Yu Tung, 27, dan Mohamad Amir Yusuf Suyitno, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama dengan sengaja telah mengaibkan dan mendatangkan bangkitan marah terhadap bapa peminjam berusia 66 tahun yang demikian boleh memecahkan keamanan awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Gunung Lambak, Taman Gunung Lambak Kluang, kira-kira jam 5 petang, 23 Oktober lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan, dengan niat hendak memecahkan keamanan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 2 Januari tahun depan.
Sebelum itu, media melaporkan taktik terbaharu pemungut hutang dalam usaha memungut balik hutang dari peminjam yang culas untuk melunaskan pinjaman.
Ia susulan penularan sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan tiga lelaki dipercayai pemungut hutang membuat bising di hadapan sebuah rumah peminjam di Taman Gunung Lambak, Kluang bulan lalu.
Kesemua mereka yang berpakaian seragam dipercayai dari syarikat pemberi pinjaman membawa sepanduk dan menggunakan pembesar suara bagi menuntut hutang.
Mereka turut meletakkan sekeping banting yang mempunyai maklumat syarikat yang memberi pinjaman di hadapan rumah peminjam bagi memalukan peminjam.