Ibu tunggal trauma diburu 9 along gara-gara hutang anak

Iklan
Tiow (tengah) dan Wern Ying (kanan) menunjukkan salinan laporan polis diugut along di Pejabat Khidmat ADUN Johor Jaya, Johor Bahru, pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal trauma dan hidup dalam ketakutan diburu sembilan along selepas anaknya berhutang akibat terjebak judi dalam talian pada bulan lalu.

Warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Tiow, 63, mendakwa, dia kini menjadi mangsa ugutan selepas anak lelakinya yang berusia 41 tahun berhutang dengan ceti haram tersebut.

Iklan
Iklan

"Dia yang merupakan anak keempat daripada lima beradik meminjam wang kerana berhutang selepas dihabiskan untuk bermain judi dalam talian.

"Pada bulan ini saya diugut sembilan kumpulan along berbeza yang menuntut bayaran berjumlah RM18,000 dipinjam anak saya.

Iklan

"Saya tiada pendapatan tetapi kumpulan along ini menelefon dan memberi mesej ugutan setiap hari, disebabkan takut, saya tinggalkan kediaman sendiri dan kini menetap bersama anak perempuan di tempat lain," katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut Tiow, disebabkan keadaan itu dia nekad memutuskan hubungan dengan anaknya itu kerana tidak mahu lagi ada kaitan dengan hutang tersebut selain membuat dua laporan di Balai Polis Masai baru-baru ini.

"Saya tidak mahu ada hubungan lagi dengan dia, bukan saya yang meminjam wang berkenaan jadi mengapa along perlu mengejar dan mengugut saya sehingga menyebabkan saya hidup dalam ketakutan.

"Anak lelaki saya itu kini tidak bekerja lagi, walaupun masih boleh berhubung dengannya tetapi dia hanya meminta saya membayar hutang-

hutangnya, dia yang minta along itu mencari saya," ujarnya.

Katanya, sebelum ini anaknya itu pernah meminjam along dan hutang itu telah diselesaikan namun pada September lalu sekali lagi membayar hutang RM12,000 dan pada bulan ini pula dia terkejut kerana anaknya berhutang lagi dan kali ini dengan sembilan along.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing menasihatkan orang awam agar tidak terjebak dengan sindiket along mahupun terlibat dengan judi atas talian.

"Kami juga berharap along terlibat tidak mengganggu individu yang tidak bersalah kerana bukan ahli keluarga yang membuat pinjaman wang berkenaan, jadi jangan ganggu mereka," katanya.