KUALA TERENGGANU - Empat penduduk Kampung Kuala Belara, Manir di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menjinakkan seekor ikan tapah 'gergasi' seberat 75 kilogram yang ditangkap di Sungai Nerus, di sini, pada Isnin.
Ahmad Zalil Awang, 57, berkata, ikan tersebut ditemui terkena pukat yang ditahan di sungai berkenaan sekitar jam 7 pagi.
"Pada mulanya saya menyangkakan ia seekor buaya sebab nampak kelibat dari jauh sedang menggelepar di dalam pukat. Bila saya sampai dekat baru tahu rupa-rupanya ia mengena seekor ikan.
"Ini pertama kali saya dan rakan-rakan menangkap ikan sebesar ini kerana saya difahamkan kali terakhir ikan tapah bersaiz besar pernah dinaikkan di sini dalam 15 tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Katanya, ikan-ikan itu dijual dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,800 termasuk tapah gergasi bernilai RM1,800 dibahagikan bersama tiga lagi rakan iaitu Abdullah Mat Ali, 56, Ariffin Ibrahim, 50, dan Che Wan Izan Che Wan Othman, 40.
Sementara itu, Abdullah menyangkal dakwaan bahawa kehadiran ikan tapah besar sebagai petanda banjir besar bakal berlaku.
Sebaliknya dia berkata, sudah menjadi kelaziman ikan-ikan itu muncul berdekatan permukaan sungai untuk bertelur ketika musim tengkujuh.
"Orang kampung di sini sudah biasa nampak ikan tapah gergasi cuma belum ada rezeki dapat. Biasanya yang ditangkap berat sekitar 30 hingga 40kg sahaja.
"Rasanya banyak lagi ikan dalam Sungai Nerus tu sebab pernah nampak yang lagi besar mungkin dalam 100kg. Setiap kali musim tengkujuh memang selalu nampak sebab ikan-ikan ni akan cari habitat air yang tenang di kawasan limpahan sungai untuk bertelur," katanya.
Ariffin pula berkata, sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung itu menangkap ikan pada musim tengkujuh sebagai pendapatan sampingan.
"Biasanya apabila air melimpah pada musim tengkujuh, dah jadi macam acara penduduk kampung pergi ke kawasan hulu sungai untuk memukat ikan.
"Nak dijadikan rezeki dapatlah ikan besar tahun ini. Ia pula ditangkap ketika hari pertama banjir melanda Terengganu pada Isnin lepas," katanya.
Pada Selasa, tular video berdurasi 17 saat di media sosial menunjukkan seekor ikan tapah gergasi berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.
Video berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada antaranya mengaitkan dengan kemungkinan berlakunya banjir besar berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.