SEREMBAN - Sekurang-kurangnya lima kawasan perindustrian baharu bakal di buka di Negeri Sembilan pada tahun hadapan sekali gus merancakkan lagi ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan,Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan berkenaan termasuklah di Nilai, Ansdale dan Senawang.
"Saya akan perincikan minggu hadapan kawasan-kawasan perindustrian dan industri-industri yang membuat pembesaran pada tahun ini, selain pelaburan baharu yang masuk ke negeri kita ini," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.
Aminuddin yang juga Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam Negeri berkata, sasaran pelaburan pada tahun ini juga sudah mencapai sasarannya selaras dengan sambutan menggalakkan daripada para pelabur.
"Kawasan sedia ada pun telah di tempah oleh pelabur-pelabur dan itu yang menyebabkan nampak permintaan itu padat dan kawasan industri ini amat menggalakkan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan pada Rabu turut bersetuju untuk memakai garis panduan pelaksanaan penempatan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) ke PBT lain dalam suatu negeri yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"MMK menerima pakai (garis panduan) tetapi ubah suai tempoh penempatan, kalau cadangan daripada KPKT adalah untuk setahun ke dua tahun tetapi untuk MMK pada hari ini telah bersetuju untuk kita mengikut tempoh satu hingga tiga tahun.
"Tujuannya untuk kita menukarkan (tempoh) untuk membantu PBT memerlukan pengalaman, integriti dan lain-lainnya supaya pegawai ini dapat bantu PBT di situ (sesuai kepakaran)," katanya.