JPJ terus gempur pesalah jalan raya

Iklan
Anggota JPJ Negeri Selangor memeriksa penunggang motosikal semasa Ops Patuh Bersepadu bersama JSPT Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad.

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor mengambil tindakan ke atas 148 kenderaan dalam Ops Patuh Bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, dalam operasi tersebut yang dilakukan di seluruh negeri, JPJ Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 397 notis kepada pesalah jalan raya.

Iklan
Iklan
Azrin Borhan

Menurut beliau, tindakan notis tersebut dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Selain itu katanya, sebanyak tiga kenderaan pelbagai jenis turut disita dalam operasi tersebut.

Iklan

"Operasi bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan mensasarkan pemeriksaan terhadap semua jenis kenderaan.

"Antara kesalahan yang telah dikesan sepanjang operasi berjalan adalah tiada lesen memandu, tiada lesen GDL, lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lebih muatan, ubah suai kenderaan serta kesalahan teknikal," katanya pada Rabu.

Iklan
Anggota JPJ Negeri Selangor memeriksa bunga tayar sebuah lori semasa Ops Patuh Bersepadu bersama JSPT Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad.

Operasi bersepadu tersebut diketuai oleh Ketua Seksyen Operasi JPJ Negeri Selangor, Muzlefa Kamarudin.

Menurut Azrin, JPJ Negeri Selangor melalui kolaborasi bersama JSPT akan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan dari semasa ke semasa.

Tegasnya, tindakan itu dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada, selain menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan trafik boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu serta butiran aduan.