Segera lakukan pecutan amal, usah bertangguh

Iklan
BERLUMBA-LUMBALAH melakukan amal kebaikan dan jangan bertangguh. -Gambar hiasan

SEBUT sahaja tentang amal, ramai membayangkan ia suatu yang berat untuk dilakukan. Malah, ada yang beranggapan ia sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mengorbankan banyak masa.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kebanyakan manusia sudah set dalam mindanya bahawa mereka akan melakukan pecutan amal apabila tiba waktu bersara atau sudah tua.

Iklan
Iklan

Demikian teguran yang dilakukan oleh pendakwah Ustaz Muhamad Rizal Johari menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Hakikatnya, jelas beliau, tiada siapa yang mengetahui ajal masing-masing dan apa yang berlaku kepada kita pada masa akan datang.

Iklan

Semuanya hanya dalam pengetahuan ALLAH SWT yang MAHA MENGETAHUI.

ALLAH SWT menjadikan manusia dengan sebab tersendiri iaitu menuntut kita sebagai hamba-NYA untuk beribadah dan berbuat kebaikan. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

Iklan

"Di sebalik impian dan harapan tersebut (beribadah selepas bersara dan tua), kalian perlu hadam kata-kata saya ini ‘Apakah kita yakin akan sampai ke usia bersara atau tua?’

"Sedarlah, kita disembunyikan oeh musibah dan penyakit. Kadangkala kita telah cuba berhati-hati di jalan raya, namun kita boleh terkena musibah daripada kecuaian orang lain ataupun kecelakaan tidak dijangka seperti insiden nahas di Elmina, Shah Alam, Selangor sebelum ini.

"Ada yang bawa kereta, tiba-tiba sahaja ada besi melayang dari lori besi hingga tersusuk ke dada. Betapa ramai juga orang muda yang terkena penyakit berat seperti kanser dan sebagainya,” tulisnya.

Bukanlah untuk menakut-nakutkan kita, tetapi perkongsian daripada Ustaz Muhamad Rizal yang juga penulis buku kerohanian itu ada benarnya.

Coretannya mengingatkan kita, betapa rapuhnya kehidupan dan teramat singkatnya perjalanan hidup manusia di dunia.

ANDAI manusia dunia didengarkan seketika jeritan ahli neraka, nescaya tidak ada sesiapa yang berani membuat kemungkaran. -Gambar hiasan

Jelas beliau, ALLAH SWT tidak menjadikan manusia itu sia-sia, sebaliknya semuanya ada sebabnya tersendiri iaitu menuntut kita sebagai hamba-NYA untuk beribadah dan berbuat kebaikan.

"Sebaliknya, kita sebenarnya yang tentukan rentak kehidupan bagaimana yang kita mahu. Masa tidak akan lapang kalau kita tak senggangkan. Sibuk tidak akan reda jika kita tak lengangkan,” titipnya.

Sedar atau tidak, ungkap Ustaz Muhamad Rizal, sekiranya kita banyak habiskan masa untuk dunia, maka diri sebenarnya telah melakukan kesilapan besar dalam kehidupan.

Masakan tidak, apabila kita meninggal dunia kelak, ALLAH SWT hanya mahukan amal soleh kita sahaja, bukan hasil dunia yang diusahakan.

INGATLAH bahawa seksaan kubur dan libasan di alam barzakh adalah benar. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

"Ingatlah seksaan kubur juga adalah benar, libasan di alam barzakh juga adalah betul. Janganlah selepas kematian kita terus merana di alam-alam yang seterusnya,” nasihat beliau.

Sebelum menoktahkan perkongsiannya, beliau mengingatkan agar kita istiqamah melakukan zikir pagi.

"Baca, amallah dan bersungguh-sungguhlah dengannya,” titipnya.