Warga Australia kencing di tempat awam didenda RM100

Iklan
Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang warga Australia kerana membuang air kecil di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya minggu lepas.

SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang juruelektrik warga Australia kerana membuang air kecil pada tembok dekat tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat sini, minggu lepas.

Tertuduh, Chih Peter, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Peter didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut yang tular dalam media sosial di tempat meletak kereta USJ 19 City Mall, pada jam 10.51 malam, 16 November lalu.

Iklan

Tertuduh, yang tiba dari Australia pada 13 November lalu untuk menziarahi saudaranya itu, dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.

Terdahulu, peguam tertuduh, R Morhaneraj memaklumkan bahawa tertuduh terdesak untuk membuang air kecil di kawasan tempat meletak kenderaan kerana tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika kejadian.

Iklan

"Bagaimanapun, anak guam saya tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Namun tertuduh sudah mendapat pengajaran tentang kejadian ini dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga diingatkan perlu menjaga adab ketika berada di negara orang.

Sasha Diana kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya.

Tertuduh membayar denda tersebut. - Bernama