SHAH ALAM - Pemuda UMNO kesal sikap segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan tegas penguatkuasaan kerajaan Pahang bagi menghentikan penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan kerajaan Pahang bersama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan itu perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.
Menurutnya, langkah itu juga bagi menjaga kepentingan orang ramai yang bergantung kepada penyaluran air bersih dari Loji air Kuala Terla.
"Perkara ini juga sebagaimana yang diperjelaskan kerajaan Pahang bahkan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri.
"Amat tidak wajar pihak-pihak tertentu ingin mempolitikkan isu kepentingan umum dan berlagak hero mempertahankan peneroka tanah secara haram yang ternyata mencetuskan kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Asraf Wajdi turut mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh juga dilihat cuba menjadi juara dalam isu berkenaan apabila lantang mengkritik tindakan kerajaan Pahang.
"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mengucapkan syabas dan menzahirkan sokongan sepenuhnya kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas pendirian dan tindakan tegas beliau untuk memastikan maslahah lebih besar rakyat dalam konteks pemeliharaan kelestarian alam sekitar terus terpelihara," tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Fuziah cuba jadi juara isu pekebun di Cameron Highlands
Isu Cameron Highlands: Henti teroka tanah secara rakus
Isu Cameron Highlands: Kerajaan Pahang tidak perlu tunduk desakan