KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 laporan polis diterima berhubung ancaman bom palsu di beberapa buah sekolah dalam tempoh dua hari di sembilan negeri sejak Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu berdasarkan laporan polis setakat jam 2 petang Rabu.
Menurutnya, laporan itu melibatkan sekolah antarabangsa, swasta dan bantuan kerajaan.
"Pulau Pinang pula merekodkan tiga kes serta masing-masing dua di Perak dan Negeri Sembilan manakala di Kedah, Sabah dan Sarawak masing-masing satu kes," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan polis, kesemua ancaman palsu itu dibuat menerusi emel yang dihantar oleh pengirim sama dengan menggunakan nama 'Taktstorer'," katanya.
Tegasnya, beliau mengulangi jaminan bahawa orang ramai khususnya ibu bapa dan warga sekolah tidak perlu panik dengan insiden berkenaan.
"Pihak polis sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘Taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com.
Siasatan polis menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.
Semakan polis juga mendapati kandungan emel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama.
Dalam satu kenyataan, Razarudin dilaporkan berkata, polis percaya suspek mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian, namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Laporan ancaman bom di seluruh negara:
1. Selangor: 15 laporan
2. Kuala Lumpur: 6 laporan
3. Johor: 6 laporan
4. Pulau Pinang: 3 laporan
5. Perak: 2 laporan
6. Negeri Sembilan: 2 laporan
7. Sarawak: 1 laporan
8. Kedah: 1 laporan
9. Sabah: 1 laporan