ALOR SETAR - Tanah membabitkan pembangunan projek St Regis di Langkawi masih milik Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan tidak pernah dipajak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemilikan tanah resort mewah yang dibuka sejak April 2016 itu masih belum diselesaikan sehingga kini disebabkan tadbir urus sebelum ini semasa projek berkenaan dibangunkan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, ia lebih bersifat teknikal dan isu ini wajar dijawab oleh Kementerian Kewangan (MOF) memandangkan Lada merupakan agensi di bawah kementerian berkenaan.
"Pemaju tidak patuhi perjanjian awal. Lada tidak benarkan tanah miliknya digunakan sebagai cagaran, kita tak benarkan jadi kes ‘tergantung’,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani penubuhan Syarikat Bertujuan Khas (SPV) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan Tahira Air Sdn Bhd bagi membangunkan Kedah Aerotropolis di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Sanusi yang juga Pengerusi Bersama Lada mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkaitan pengurusan pembangunan hartanah Lada yang gagal mengutip hasil pajakan tanah projek pembangunan Hotel St Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018 dan pajakan tanah projek perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.
Sanusi memaklumkan, tanah berkenaan tidak pernah menjadi milik St Regis dan kekal milik Lada.
"Ia memang tanah Lada jadi nak kutip (hasil pajakan) pada siapa. Kita tak benarkan tanah itu jadi gadaian untuk projek St Regis sebab isu urus tadbir dalam pembinaannya,” jelasnya.