Prestasi Kerajaan Perpaduan merosot - Merdeka Center

Iklan
Penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merosot pada 41 peratus pada Oktober lalu, berdasarkan laporan kaji selidik Merdeka Center.

SHAH ALAM - Penilaian prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merosot pada 41 peratus pada Oktober lalu, berdasarkan laporan kaji selidik Merdeka Center.

Bagaimanapun, peratusan tersebut dilihat tinggi berbanding prestasi pentadbiran lalu melibatkan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Iklan
Iklan

Dapatan hasil kaji selidik tersebut mendapati peratusan prestasi kerajaan PN-BN mencecah 31 peratus manakala pentadbiran PH dulu pada 30 peratus.

Dalam perkembangan sama, kaji selidik Merdeka Center itu turut mendedahkan 77.8 peratus responden berpandangan bahawa kebimbangan ekonomi merupakan masalah utama yang dihadapi oleh negara.

Iklan

Menurut kenyataan Merdeka Center, masalah kebimbangan ekonomi itu melibatkan lima isu termasuk keadaan ekonomi yang tidak menguntungkan secara umum, kos sara hidup tinggi, kemerosotan nilai ringgit, pendapatan minimum serta pembangunan ekonomi.

Selain itu, 2.9 peratus responden menyifatkan diskriminasi atau polarisasi kaum sebagai masalah terbesar negara, diikuti dengan kelemahan kepemimpinan (1.4 peratus), jurang pembangunan dan infrastruktur (1.2 peratus) serta korupsi (satu peratus).

Iklan

Tinjauan tersebut membabitkan 1,220 responden berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara merangkumi 52 peratus Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) manakala enam peratus bagi Bumiputera bukan Islam dan Bumiputera Islam.

Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berstrata mengikut garis etnik, jantina, umur dan negeri.