KOTA BHARU - Lima buah rumah separuh kekal hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Long Yunus, Taman Rogayah di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan yang juga Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 2.06 petang dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan lima buah rumah separa kekal yang mana rumah pertama terbakar sehingga 90 peratus, rumah kedua 50 peratus dan yang lain masing-masing 20 peratus.
"Turut terlibat dua buah kenderaan iaitu Perodua Kancil dan Proton Persona. Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan cedera," katanya.
Mohd Wildan berkata, seramai 43 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu; Pengkalan Chepa; Kota Darul Naim, Tunjung dan Pasukan Bomba Sukarela Kota Bharu diturunkan lokasi kejadian.
Sementara itu, salah seorang mangsa, Mariani Awang, 58, memberitahu, kejadian berlaku selepas dia selesai solat Zohor.
"Saya terkejut melihat api daripada plastik sebelum menyambar bahagian hadapan rumah dan terus menyuruh anak cucu keluar.
"Jiran bantu padam api guna air paip, tapi api makin marak menyebabkan dia terus hubungi bomba," katanya yang tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian tersebut.
Menurutnya, dua kenderaan milik anak dan menantunya turut hangus dan kerugian masih belum dapat dipastikan.