MANILA - Sekurang-kurangnya seorang maut dan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas hujan lebat mencetuskan banjir di seluruh Filipina.
Pasukan penyelamat menggunakan bot angin dan tali menarik keluar mangsa yang terkandas di rumah mereka di Samar Utara, salah satu wilayah paling teruk dilanda banjir, di mana kampung dan pekan ditenggelami air selepas hujan selama seminggu.
Ibu kota wilayah Catarman menerima hujan lebih sebulan dalam tempoh 24 jam hingga pagi Selasa, dengan air berlumpur menyebabkan jalan menjadi sungai dan membanjiri pusat beli-belah, rumah serta bangunan komersial.
"Hujan bulanan di Catarman adalah sekitar 450 milimeter tetapi pada Selasa, ia merekodkan 619 milimeter (mm),” kata peramal cuaca negeri, Benison Estareja kepada AFP.
Agensi bencana negara berkata, lebih 43,000 orang telah terpaksa meninggalkan rumah mereka, sementara mereka menunggu air banjir surut.
Ketua bencana tempatan, Pedro Balanquit memberitahu AFP, seorang wanita maut di perbandaran Pambujan di Samar Utara selepas dihempap pokok semasa kejadian tanah runtuh.
"Air sungai masih melimpah selepas air dari pergunungan mengalir ke sana," kata Balanquit.
"Banjir mencecah paras setinggi rumah dua tingkat," katanya.
Filipina yang mengalami kira-kira 20 bencana ribut kuat dalam tempoh setahun dan telah disenaraikan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.
Oleh kerana suasana yang lebih panas menampung lebih banyak air, perubahan iklim meningkatkan risiko dan bencana banjir akibat hujan yang melampau. - AFP