Sindiket tawar pekerjaan tidak wujud kepada warga Britain tumpas

Iklan
Zainol (kiri) menunjukkan gambar 17 suspek yang ditahan terlibat menjalankan operasi 'calling centre' di sebuah rumah banglo di Ayer Keroh. - Foto Bernama

MELAKA - Polis menumpaskan operasi pusat panggilan yang menjalankan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud di sebuah rumah banglo di Ayer Keroh di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, 17 individu termasuk penyelia pusat panggilan yang merupakan warga tempatan berusia 35 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 12.23 tengah malam itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sindiket yang menyasarkan warga Britain sebagai mangsa dengan menawarkan kerja sambilan tidak wujud menerusi laman sesawang https://thesapbusiness-uk.com/#/ itu dipercayai telah beroperasi di premis mewah terlibat sejak September lepas.

"Ketika serbuan dilakukan kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan satu wanita warga tempatan serta tiga lelaki warga asing berusia 17 hingga 40 tahun sedang mengendalikan operasi pusat panggilan berkenaan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket berkenaan ialah menggunakan nombor telefon pra-bayar dari Britain untuk menghantar pesanan ringkas secara rambang ke semua nombor telefon rakyat negara itu dengan tujuan memperdaya mereka dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Rabu.

Zainol (kiri) menunjukkan pelbagai peralatan elektronik yang dirampas daripada sindiket. - Foto Bernama

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.

Iklan

Zainol berkata, sindiket berkenaan akan berkomunikasi dengan mangsa menerusi aplikasi Telegram dan WhatsApp berdasarkan skrip dalam bahasa Inggeris yang telah disediakan serta mangsa perlu mendaftar di laman sesawang berkenaan sebelum ditawarkan dengan pekerjaan memberi 'rating' yang baik pada laman sesawang palsu yang diberikan oleh sindiket itu.

Beliau berkata, komisen sebanyak 0.35 USDT bagi setiap 'rating' yang diberi oleh mangsa dan segala transaksi tersebut menggunakan mata wang kripto (USDT) yang dikawal ketua sindiket terbabit.

"Mangsa yang berminat untuk meneruskan tugas tersebut dikehendaki memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan komisen yang dijanjikan sebelum menyedari terpedaya dengan penipuan itu apabila tidak memperoleh komisen yang sepatutnya.

"Selain itu, siasatan juga mendapati kesemua 17 suspek yang ditahan dibayar gaji sebanyak RM4,000 seorang sebulan tidak termasuk komisen sebanyak 10 peratus daripada jumlah wang yang diperoleh daripada mangsa," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati lima daripada 17 suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan semua mereka direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana melakukan pakat jahat jenayah.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai merupakan rangkaian sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan Jabatan Imigresen di Langkawi, Kedah pada awal tahun ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 18 set komputer, 60 unit telefon bimbit dan dua kenderaan bernilai lebih RM100,000.

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Kontinjen Melaka menerima sebanyak 198 kes melibatkan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud di negeri ini dalam tempoh 1 Januari hingga semalam melibatkan nilai kerugian sebanyak RM3.98 juta. - Bernama